Teknologi dapat meningkatkan produktiviti,
menambah motivasi, menyokong pengajaran secara tidak langsung dan
meningkatkan literasi maklumat di kalangan pelajar, Namun terdapat juga pelbagai persoalan yang timbul berkaitan dengan
pengajaran dan pembelajaran (PdP) dengan menggunakan ICT. Kajian Ambigapathy
dan Shanti (2004) mendapati bahawa cabaran baharu dalam dunia pendidikan
memerlukan penglibatan golongan pendidik secara sepadu dalam melakarkan
aktiviti-aktiviti pembelajaran yang dapat membentuk pesona murid yang
mempunyai arah kendiri (self-directed learner).
Menurut kajian Nevin (1999) pula, teknik latih tubi yang terhasil
daripada teori pembelajaran behavoris amat sesuai untuk pengajaran kosa
kata, kemahiran matematik, kemahiran sains, sejarah dan geografi. Pendekatan
pembelajaran masteri ini memerlukan guru untuk membahagikan sukatan
pelajaran kepada unit-unit kecil agar murid dapat menerima pengajaran
secara bertahap lantas dapat menguasai topik pengajaran secara berkesan.
Pendekatan ini juga mengesyorkan bahawa variasi dalam pencapaian pelajar boleh dikurangkan melalui strategi dan teknik pengajaran yang disesuaikan
untuk memenuhi pelbagai keperluan pembelajaran pelajar.

Oleh yang
demikian, disarankan agar pensyarah-pensyarah meningkatkan usaha untuk melakarkan
pengajaran yang lebih menarik serta menyuntik elemen keseronokan di dalam
PdP agar pelajar terdorong untuk mempelajari semua subjek.
Pengajaran di dalam bilik darjah juga seharusnya lebih bersifat interaktif
dengan melibatkan pelajar agar mereka mudah mengetahui dan memahami
pelajaran yang diikuti. Pada masa yang sama, pensyarah juga harus berani dan
meningkatkan efikasi diri terhadap penggunaan ICT agar lebih cekap untuk
memilih bahan dan wadah pengajaran yang terbaik bagi membantu pelajar yang lemah dalam komponen-komponen tertentu.
No comments:
Post a Comment